Pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin boleh diberi markah yang tinggi, kata Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Menurut Mohd Amar, Muhyiddin selaku perdana menteri berjaya memimpin kerajaan persekutuan dengan baik terutama ketika negara berdepan penularan COVID-19.

"Secara umumnya mengikut pandangan peribadi saya, memuaskan. Beliau berjaya menangani isu-isu yang di luar jangka, dan menunjukkan kebolehan sebagai perdana menteri.

"Beliau ada pasukan yang baik dan ada orang-orang yang hebat bersama. Kalau boleh diberi markah, markahnya tinggi, markah A," katanya selepas mesyuarat exco kerajaan Kelantan di kediaman rasmi menteri besar di JKR 10, Kota Bharu, hari ini.

Muhyiddin dipilih sebagai perdana menteri kelapan selepas seminggu konflik politik negara pada penghujung Februari lalu selepas Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan peletakan jawatannya sebagai perdana menteri ketujuh.

Beliau juga mengumumkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) keluar dari Pakatan Harapan dan membentuk kerjasama dengan UMNO, Pas dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang dinamakan Perikatan Nasional (PN).

Sementara itu ditanya mengenai proses pengagihan kerusi antara Pas dan UMNO sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum, Mohd Amar berkata, perbincangan mengenai perkara itu hanya melibatkan pimpinan tertinggi antara parti.

Jelasnya, secara dasar perkara itu diberi mandat kepada Pas Pusat untuk membuat pendirian.

"Kita di peringkat negeri akan melaksanakan apa yang yang diputus, kami sendiri di peringkat negeri tidak bincang.

"Kita harap prosesnya berjalan dengan baik dan mendapat formula yang diterima oleh semua pihak," katanya lagi.