Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengesahkan akan mempertahankan jawatan tersebut dalam pemilihan parti itu sempena Muktamar PAS pusat ke-63 di Alor Setar, Kedah pada hujung bulan ini.

Beliau berkata, pemilihan kali ini dijangka berlangsung aman dengan semangat persaudaraan yang kuat dalam kalangan calon yang bertanding.

“Bila Presiden dan Timbalan Presiden menang tanpa bertanding, itu satu sokongan padu dari ahli parti, kepada pimpinan yang ada, dan mereka mengiktiraf gandingan Presiden dan Timbalan Presiden,”ujarnya selepas menghadiri mesyuarat exco di sini hari ini.

Pemilihan bagi jawatan Naib Presiden dijangka menjadi tumpuan sempena Muktamar tahunan PAS kali ini apabila dua calon baharu iaitu Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan dan Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan mendapat pencalonan untuk jawatan tersebut.

Selain Takiyuddin dan Nasrudin, tiga penyandang iaitu Mohd Amar, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Idris Ahmad dan Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad turut dicalonkan mengekalkan jawatan itu.

Mohd Amar turut berkata kemenangan tanpa bertanding Presiden Datuk Seri Hadi Awang dan Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man menunjukkan bahawa gandingan kepimpinan parti yang ada sekarang mendapat sokongan padu dari ahli PAS di peringkat akar umbi.

Dalam perkembangan yang lain, Mohd Amar menyifatkan tindakan tindakan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang berterusan menyerang PAS diibaratkan seperti 'menambah garam kepada luka sedia ada' membabitkan hubungan kedua-dua parti itu.

Katanya, tindakan Ahli Parlimen pandan itu hanya akan menyebabkan hubungan kedua-dua parti berkenaan menjadi semakin parah dan tidak mustahil bakal berakhir.

Beliau berkata, tuduhan demi tuduhan yang dilakukan Rafizi termasuk mendakwa kepimpinan parti itu menerima dana daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah tidak berasas sama sekali.

Rafizi sebelum ini mendakwa mempunyai bukti dan maklumat mengenai terdapat individu yang rapat dengan PAS menerima dana daripada 1MDB.

Mengulas lanjut, Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, Rafizi sepatutnya memberi tumpuan mengenai pendedahan penulis blog Raja Petra Kamarudin sebelum ini bahawa PKR menerima dana daripada individu tertentu.

“Dalam kes ini, bila pendedahan dibuat Raja Petra, mereka sepatutnya samanlah, kalau setakat setakat nafi sahaja, itu menunjukkan pendedahan itu betul,” katanya.

Katanya, PKR sepatutnya mengambil tindakan saman terhadap Raja Petra sekiranya pendedahan itu tidak benar dan bukan cuba mengalih perhatian dengan menyerang PAS.