Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dilihat sekali lagi cuba 'menyembunyikan' sebab sebenar beliau keluar daripada UMNO dengan alasan buruk dan menafikan telah menikam belakang Perdana Menteri, kata Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman.

Selepas kegagalan untuk 'merampas' jawatan Ketua Menteri Sabah, Musa berkata, Mohd. Shafie bertindak meninggalkan UMNO dengan menyertai Tan Sri Muhyiddin Yassin semata-mata untuk mengintai jawatan Timbalan Perdana Menteri.

"Ini bukan gaya saya untuk bertekak tetapi saya perlu katakan sesuatu.

"Jangan cuba berdolak-dalik daripada isu. Itulah puncanya sebenar, itu sebab beliau memilih untuk meninggalkan parti," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Musa berkata demikian dipercayai merujuk kepada kenyataan Mohd Shafie semalam yang menafikan ada menikam belakang Perdana Menteri kerana keluar UMNO.


Beliau berkata, Muhyiddin dipecat pada Jun 2016 bersama Datuk Mukhriz Mahathir selepas cubaan 'memberontak' dalam pentadbiran UMNO yang berakhir kepada kegagalan.

Jelasnya, Mohd Shafie juga dilihat sudah memeterai perjanjian awal dengan barisan penentang sebelum beliau keluar pada akhir bulan berkenaan selain ketiga-tiga tokoh politik itu mempunyai agenda awal.

"Dakwaan beliau (Mohd Shafie) meletakkan masa depan negara daripada persahabatan dengan Najib adalah sesuatu yang melucukan," katanya.

Sementara itu, Musa berkata, Datuk Seri Najib sebelum ini sudah melakukan terbaik terhadap Presiden Warisan berkenaan termasuklah membantu beliau menjadi Naib Presiden UMNO dan memberikan jawatan sebagai Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah (KKLW) yang mana seterusnya meletakkan harapan Mohd Shafie untuk membantu Sabah namun disia-siakan kerana sikap mementingkan diri selain agenda tersembunyi.

"Saya bersetuju kalau bukan Najib yang mempertahankan Mohd Shafie, beliau tidak akan mencapai peluang luar biasa diberikan kepadanya," kata beliau.

Tambah Musa, Mohd Shafie perlu mengamalkan politik matang berbanding bersikap kebudak-budakan dengan menuduh Musa tidak selesa dengan jawatannya selaku Naib Presiden UMNO pada suatu ketika dahulu.

"Jika saya tidak selesa, lebih baik saya bertindak merebut jawatan tersebut.

"Bukan sahaja tidak mahu merebut Naib Presiden, malah saya juga tidak bertanding dalam mana-mana jawatan majlis tertinggi kerana komitmen saya sebagai Ketua Menteri Sabah," katanya.