Pemangku Ketua Umno Bahagian Tanjung Malim, Mohd Zaidi Aziz diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim hujung bulan ini.

Pengumuman dilakukan Pengerusi BN Perak, Datuk Saarani Mohamad dalam sidang media khas di Felda Residence Trolak, pada Rabu.

Saarani berkata, pemilihan Zaidi dibuat setelah pucuk pimpinan UMNO meneliti, menilai dan mempertimbangkan senarai nama yang dicadangkan.

"Kesemuanya (senarai yang dicadangkan) adalah tokoh-tokoh yang berkelayakan dan berkaliber. Namun hanya seorang sahaja antara mereka yang dipilih iaitu Mohd Zaidi," katanya.

Hadir sama pada sidang media itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan serta pemimpin-pemimpin komponen BN, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Mohd Zaidi, 43, merupakan calon anak tempatan berasal dari Rumah Awam Kampung Sawa, Slim Village, Slim River dan merupakan pemegang Ijazah Islamic Revealed Knowledge and Human Sciences Universiti Islam Antarabangsa.

Beliau pernah menjawat pelbagai jawatan dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Timbalan Presiden Majlis Belia Malaysia. Ketika ini, beliau adalah Timbalan Presiden Federasi Kebangsaan Pekerja Belia.

Sementara itu, Mohd Zaidi berharap semua pihak bersama-sama membantu mengekalkan kemenangan BN di DUN Slim.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan parti yang memilih saya sebagai calon BN.

"Marilah kita bersama-sama mengembeleng tenaga dan usaha membantu menjayakan kemenangan BN," katanya.