Calon PRK DUN Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, optimis Pakatan Harapan (PH) mampu mengekalkan kemenangan bagi menyambung mandat yang diberikan rakyat di DUN itu sebelum ini.

Mohd Zawawi berkata keyakinan itu bukan hanya disebabkan dirinya sebagai calon tetapi atas kekuatan PH sendiri yang menjadi pilihan rakyat pada masa ini.

“Yakin rakyat memberi kepercayaan bukan saja kepada saya tapi kepada parti yang telah menunjukkan rekod terbaik setakat ini.

“Saya harap dapat meneruskan misi membela rakyat di DUN Sungai Kandis seperti mana mandat yang diberikan sebelum ini,” katanya.

Mohd Zawawi tiba di pusat penamaan calon, di Dewan Tanjung (MBSA) Seksyen 19, di sini, pada jam 9 pagi diiringi penyokong-penyokong dan pemimpin-pemimpin PH.

PH menamakan Mohd Zawawi, seorang pengetua Maahad Tahfiz Al Fateh, Jalan Kebun dan setiausaha Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR untuk mempertahankan kerusi itu.

Kerusi DUN Sungai Kandis kosong selepas penyandangnya, Allahyarham Mat Shuhaimi Shafiei meninggal dunia, pada 2 Julai lalu ekoran kanser limfoma.

Pada PRU lalu, Mat Shuhaimi memenangi kerusi DUN Sungai Kandis selepas memperoleh 23,998 undi dalam pertembungan empat penjuru menewaskan calon Barisan Nasional, Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518); calon Pas, Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia, Hanafiah Husin (76).