Pemilihan kepimpinan ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO kali ini amat penting kerana pembentukannya mestilah yang boleh diterima ahli parti itu sendiri serta rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jong, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin berkata, UMNO memerlukan barisan kepimpinan ahli MT baharu yang mempunyai gandingan orang lama dan baharu bagi menghadapi cabaran politik pada masa depan.

“Kehadiran UMNO kali ini perlu dilihat kesegarannya di mana UMNO perlu dijenamakan dengan wajah baharu, warna, logo, motto dan slogan baharu yang mampu menarik generasi muda

“Maka ahli MT UMNO kali ini mestilah individu yang bersih daripada rasuah dan mempunyai integriti serta berkredibiliti bagi memperoleh kembali kepercayaan dalam kalangan rakyat di negara ini,” katanya.

Mohd Azhar yang turut menawarkan diri bertanding bagi MT UMNO 2018/2021 berkata, imej pemimpin UMNO juga perlu dipulihkan kerana sebelum ini pemimpin parti itu digambarkan dengan imej yang buruk oleh pembangkang dahulu sehingga rakyat mempercayainya.

“Selama 61 tahun kita telah menjadi kerajaan, kini sampai masanya untuk UMNO menjadi pembangkang efektif mewakili rakyat serta memenangi setiap isu dan desakan serta bersuara lantang dan tegas demi hak rakyat negara ini,” katanya.

Mengulas lebih lanjut, Mohd Azhar berkata, beliau terpanggil menyumbang tenaga dan idea bagi membantu pimpinan tertinggi UMNO bersama ahli MT lain.

“Saya mahu bersama mereka untuk membangkitkan semula semangat akar umbi dan seterusnya mengembalikan keyakinan pengundi muda dan rakyat di luar sana terhadap hala tuju UMNO pada masa depan.

“Kita juga akan memastikan visi baru UMNO yang lebih jelas dan memberi tumpuan kepada agama, bangsa dan tanah air serta rakyat negara ini secara keseluruhannya,” katanya.

Sementara itu, pemerhatian wartawan Sinar Harian di laman Facebook Mohd Azhar mendapati kebanyakan yang memberikan komen menyatakan sokongan terhadap Mohd Azhar mencalonkan dirinya bertanding kerusi MT UMNO.

Dalam perkembangan sama, Mohd Azhar kekal menerajui UMNO Bahagian Teluk Intan selepas jawatan ketua bahagian tidak dipertandingkan pada pemilihan bahagian kali ini.