Satu usul bagi membolehkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak ditandingi dijangka akan dibentangkan pada satu Mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu di Menara Dato Onn, esok.

Sumber memberitahu Astro AWANI, usul itu akan dibentangkan susulan keputusan kepimpinan tertinggi sebelum ini untuk mempercepatkan pemilihan parti, ke tahun ini.

“Persoalannya, adakan akar umbi UMNO, akan menerima keputusan oleh ahli-ahli Majlis Tertinggi itu?” kata sumber itu lagi.

Semalam, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, dalam satu sidang media khas, mengumumkan bahawa beliau telah meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional serta merta.

BACA: Najib Razak letak jawatan Presiden UMNO, Pengerusi BN

Beliau turut memaklumkan bahawa Biro Politik yang beliau pengerusikan sebelum itu, juga bersetuju supaya Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjalankan tugas-tugas Presiden UMNO manakala Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, juga Naib Presiden UMNO, menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Pengerusi BN.

Keputusan itu dibuat beliau susulan kekalahan teruk Barisan Nasional sewaktu Pilihan Raya Umum yang lepas, hingga menyaksikan Pakatan Harapan yang diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad, berjaya mengambil alih pemerintahan negara.