DEBARAN keputusan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO terakhir sebelum Perhimpunan Agung UMNO Disember depan tidak akan berhenti selagi ia belum selesai sekaligus menjawab persoalan apakah ada tokoh dalam parti yang akan diambil tindakan selepas didapati mengeluarkan kenyataan yang tidak patut 'dibuat di khayalak' akhir-akhir ini.

Bagaimanapun, kenyataan Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang menolak spekulasi ada pemecatan atau penggantungan Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden Datuk Seri Shafie Apdal baru-baru ini boleh dikira memberi kelegaan kepada ahli parti sendiri.

Natijahnya, pasti ada perkara negatif, pergolakan dan sentimen menentang dari ahli dan penyokong pemimpin berkenaan seandainya ada penggantungan atau pemecatan kepada dua tokoh parti paling lama untuk orang Melayu ini.

BACA: Tengku Adnan tolak spekulasi motif mesyuarat MT UMNO diawalkan

Tentu sekali situasi akan mula ribut di Johor seandainya pemimpin kesayangan ahli parti negeri itu digantung atau dipecat kerana tindakan lantangnya bercakap terutama mengenai isu 1MDB serta derma RM2.6 bilion yang didakwa diterima Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Di dalam propaganda, kelantangan Muhyiddin ini boleh diumpamakan seperti strategi perang saraf di bawah teknik 'pembesar suara' yang bermatlamat mencari pengaruh atau memujuk individu lain dengan penyampaian maklumat menggunakan medium berskala besar seperti media atau berucap di dalam himpunan masyarakat.

Pengulangan isu 1MDB oleh Muhyiddin di dalam kebanyakan ucapannya boleh diumpamakan seperti istilah pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA (UiTM), Profesor Madya Dr Darussalam Abu Bakar yang mengumpamakan propaganda sebagai sebahagian daripada proses komunikasi yang disampaikan secara berulang-ulang kepada sesuatu pihak dengan harapan menarik perhatian kelompok atau orang yang disasarkan.

Jelas Dr Darussalam lagi, ia juga seerti dengan proses pemujukan namun tetap memerlukan bantuan media sebagai alat penyebaran.

Bagaimanapun Dr Darussalam dilaporkan menganggap Muhyiddin sebagai pemimpin yang tidak dialu-alukan dalam pentadbiran Najib kerana sikapnya yang vokal dan mengkritik selari bukanlah budaya UMNO selama ini.

Isunya kembali kepada kenyataan yang mengatakan tidak ada yang akan tersingkir pada mesyuarat MT terakhir sebelum Perhimpunan Agung UMNO Disember nanti.

BACA: Kertas siasatan 7 'anai-anai UMNO' siap - Ku Nan

Bagaimana mungkin tidak ada satu atau tujuh 'anai-anai' UMNO akan 'terbuang' selepas Ku Nan sendiri mengakui kertas siasatan berhubung beberapa pemimpin sudah siap?

Apakah Lembaga Disiplin UMNO masih belum menyelesaikan siasatan dan rujukan laporan yang harus diserah kepada MT untuk keputusan akhir?

BACA: 'Tekan 1 jika anda sokong Muhyiddin...'

Jika tidak ada penyingkiran, benarkah Muhyiddin akan diberi peluang untuk merasmikan sayap-sayap parti dan meneruskan serangannya dalam isu 1MDB di hadapan wakil Wanita, Pemuda atau Puteri UMNO dengan lebih lantang lagi?

BACA: 'Muhyiddin bebas lakukan apa sahaja yang dia suka' - Tengku Razaleigh

Jika semuanya benar, maka Perhimpunan Agung UMNO tahun ini boleh diandaikan paling meriah dalam sejarah walaupun tanpa pemilihan parti yang ditangguhkan selama 18 bulan selepas dijadual diadakan tahun hadapan.

Bagaimana tidak, Muhyiddin yang digugurkan daripada kerusi Timbalan Perdana Menteri atas alasan kepentingan negara selain mengambil kira pertimbangan politik semasa tetap diberikan peluang untuk berucap di hadapan perwakilan sayap UMNO pada Disember nanti, ajaib bukan?

BACA: "Akar umbi kenal siapa penyamun, siapa pemimpin" - Syed Ali

Selain Muhyiddin dan Shafie, nama-nama lain yang hangat dilabel sebagai anai-anai dalam UMNO adalah Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee, bekas Presiden UMNO Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Zainuddin Maidin, Tan Sri Sanusi Junid dan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar Datuk Jamal Mohd Yunos.

Dalam pada itu, pensyarah di Pusat Pengajian Kerajaan Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Datuk Dr. Zainal Kling berpendapat, keputusan untuk mengekalkan Muhyiddin membuktikan sikap tolak ansur UMNO sendiri kepada pemimpin mereka.

Katanya, tidak ada salahnya Muhyiddin dalam lantang berkata-kata selain mahu ahli parti menghargai sikap kritikalnya dalam mengambil berat terhadap isu semasa dan usahanya yang mahu melihat UMNO itu sendiri bersih.

Dr. Zainal turut berpendapat Muhyiddin tidak pernah menentang UMNO dan mahu persepsi ahli serta pimpinan lain tidak risau kepadanya untuk terus berucap semasa perasmian sayap pada Perhimpunan Agung UMNO nanti.

Dengan penuh yakin Dr. Zainal menambah, Muhyiddin tidak akan melakukan perkara negatif yang akan memalukan parti secara keseluruhannya.

Pada masa ini ada benarnya disemak semula kenyataan Setiausaha Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub yang menegaskan bahawa sebarang usaha menyingkir atau menggugurkan Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden UMNO adalah perbuatan yang tidak mengikut Perlembagaan parti.

Jelas Mustapha, mengikut Fasal 9.12 Perlembagaan UMNO jelas menyatakan: jawatan Ahli-Ahli Majlis Tertinggi termasuk Presiden dan Timbalan Presiden boleh dilucutkan atau Majlis Tertinggi dibubarkan oleh Perhimpunan Agung Khas dengan undian tidak kurang daripada 2/3 daripada jumlah bilangan ahli yang berhak hadir.

BACA: Jangan tangguh pemilihan UMNO 2016, kata Muhyiddin

Jika semuanya berjalan lancar, impian Muhyiddin supaya UMNO tidak menangguhkan pemilihan parti selepas pilihan raya umum seperti yang dilakukan sebelum ini sebaliknya menjalankan pemilihan tersebut mengikut masa yang ditetapkan oleh perlembagaan parti menjadi mungkin menjadi kenyataan.

Sekurang-kurangnya, harapan Muhyiddin agar Perlembagaan UMNO dipinda untuk membolehkan barisan pelapis muda memainkan peranan dan memberi khidmat lebih besar kepada parti itu bukan lagi impian semata-mata.