Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih Muhammad Aiman Zainali menjelaskan beliau tidak mempunyai sebarang masalah untuk mengisytiharkan harta seperti yang dilakukan oleh calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) Nik Aziz Afiq Abdul, tetapi tumpuannya kini lebih kepada usaha berkempen.

Muhammad Aiman yang memulakan kempennya hari ini (Ahad) hanya akan berbuat demikian jika dirasakan perlu di mana urusan menyantuni penduduk sekitar kawasan tempat beliau bertanding dan berkempen menjadi keutamaannya ketika ini.

"Ikutkan saya memang declare income tax saya setiap tahun. Terpulang kalau dirasakan perlu untuk saya declare saya akan declare. Kalau dirasakan benda itu tidak menjadi satu kewajipan jadi tak perlu.

"Kita (PH) datang ke sini untuk berkempen jumpa dengan semua penduduk di kawasan Semenyih jadi fokus kita kepada masalah setempat daripada memikirkan isu pengisytiharan harta. Bagaimanapun saya yakin ia tidak menjadi masalah buat diri saya untuk berbuat demikian (isytihar)," katanya kepada pemberita selepas menziarahi beberapa rumah penduduk warga tua dan yang sakit di Kampung Pasir, Hulu Semenyih di sini hari ini.

Muhammad Aiman mengulas gesaan calon PSM itu, yang pagi tadi membuat pengisytiharan harta, agar kesemua calon yang bertanding PRK DUN Semenyih untuk berbuat perkara yang sama.

Dua lagi calon adalah Zakaria Hanafi daripada Barisan Nasional dan calon Bebas Kuan Chee Heng.

Dalam pada itu, Muhammad Aiman turut mengutuk tindakan pihak tertentu membuat ugutan terhadap Kuan kerana bertanding pada PRK itu.

Muhammad Aiman, 30, yang merupakan seorang jurutera berkata isu ugutan seperti itu tidak sepatutnya berlaku dalam politik dan ia perlu dihentikan serta merta.

"Kita harap proses pilihan raya ini berjalan dengan bersih mengikut undang-undang dan saya serahkan kepada pihak berkuasa untuk menilai dan mengambil tindakan," katanya.

Kuan yang dikenali sebagai Uncle Kentang menerima ugutan bunuh malam semalam selepas beliau sah bertanding pada PRK Dun Semenyih selepas proses penamaan calon semalam.

Mengenai isu yang tular di media sosial bahawa beliau menipu dengan mendakwa memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) berdasarkan maklumat di laman LinkedIn miliknya, Muhammad Aiman menjelaskan bahawa timbul salah faham masyarakat berhubung status pendidikan serta wujud kesilapan teknikal berhubung pencapaian beliau seperti dipaparkan di laman itu.

"Ramai tak tahu saya tak ambil diploma. Saya ambil fast track, matrikulasi saya terus jump ke degree kemudian saya dapat first class honour dan saya dapat offer ke PhD (tanpa mengambil ijazah sarjana). Biasanya media sosial jarang update, jadi benda tu jadi isu. Saya harap benda itu semua orang boleh faham dan saya tak pernah declare saya dah ada PhD. Yang saya cakap adalah saya sedang dalam pengajian itu sahaja," katanya.

-- BERNAMA