PUTRAJAYA:Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan perjumpaan bersama semua ketua parti politik kira-kita pukul 9.30 pagi tadi.

Perjumpaan itu dipercayai bagi membincangkan keputusan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menolak pengisytiharan darurat semalam.

Tumpuan media di kawasan pintu masuk Bangunan Perdana Putra sejak awal pagi tadi mendapati beberapa pemimpin utama parti turut kelihatan memasuki Bangunan Perdana Putra termasuk Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Presiden MIC, Tan Sri S. A Vigneswaran.

Kedua-dua pemimpin parti itu dipercayai mengadakan pertemuan dengan Muhyiddin pada pukul 9.30 pagi sebelum beliau mempengerusikan Mesyuarat Khas Kabinet.

Sementara itu, Perdana Menteri dalam masa sama turut dijadual mempengerusikan Mesyuarat Khas Kabinet bagi membincangkan lebih lanjut isu sama.

Mesyuarat Khas itu diadakan bagi membincangkan lebih lanjut titah Seri Paduka bahawa tiada keperluan buat masa ini untuk mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian di Malaysia.

Sehubungan itu, beberapa menteri Kabinet mula tiba untuk menghadiri mesyuarat khas berkenaan termasuk Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Sadique dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad.

Perdana Menteri dalam kenyataan semalam memaklumkan Jemaah Menteri akan berbincang lebih lanjut titah Seri Paduka bahawa tiada keperluan buat masa ini untuk mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian di Malaysia.

Perdana Menteri berkata keutamaan Jemaah Menteri dan kerajaan pada masa ini ialah melindungi rakyat daripada wabak COVID-19.

Beliau bagaimanapun menyambut baik atas kepercayaan Seri Paduka kepada kerajaan pimpinannya dalam melaksanakan tindakan bagi membendung pandemik itu.

Sementara itu, perjumpaan khas perdana menteri bersama semua menteri besar dan ketua menteri yang dijadualkan berlangsung pada pagi ini dibatalkan.