Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Ab Aziz Kaprawi, berkata Tan Sri Muhyiddin Yassin mungkin berdepan tindakan disiplin parti berikutan video yang tersebar mendedahkan kenyataannya mengenai pemindahan wang RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri.

"Ada kemungkinan kerana video yang tersebar dalam rumah Tan Sri itu jelas menunjukkan Tan Sri Muhyiddin tidak mengotakan apa yang dia kata untuk terus membantu Perdana Menteri," katanya semasa sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lembah Pantai di Bangsar, Kuala Lumpur.

Pada masa sama, beliau kecewa kerana maklumat yang belum disahkan sahih itu turut didedahkan kepada pembangkang.

"Dia reveal maklumat tidak sahih kepada pembangkang. Ia berlaku dalam rumah dia. Seolah diatur kecuali ia berlaku luar rumah," katanya.

Ditanya sama ada pengguguran Muhyiddin akan menjejaskan sokongan anggota UMNO terhadap pucuk pimpinan, Ab Aziz menjawab "Perlu penjelasan pemimpin. Sebagai ahli UMNO kita perlu patuh pada kepimpinan. Itu prinsip. Beliau melanggar disiplin parti dan kabinet.

"Apabila Tan Sri Muhyiddin mengatakan beliau tidak bersetuju mengenai isu 1MDB, saya tidak faham. Semua jentera kerajaan membantu Perdana Menteri. Kenapa beliau tidak membantu?"

Ujar beliau, 154 Ketua Bahagian UMNO juga sebelum ini menyokong rombakan kabinet dan pengguguran Tan Sri Muhyiddin sebagai Timbalan Perdana Menteri.

"154 daripada 196 Ketua Bahagian menyokong Tan Sri Muhyiddin digugurkan,"

"154 Ketua Bahagian yang beri mandat kepada PM untuk buat rombakan. Ini memang kuasa PM. Tiada siapa boleh pertikai," tambah beliau lagi.