PUTRAJAYA: Perdana Menteri yang juga Presiden Parti Bersatu Malaysia (Bersatu) tiba di sebuah hotel di Putrajaya bagi mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi Bersatu pada Khamis.

Muhyiddin tiba kira-kira jam 4.32 petang diiringi beberapa pemimpin tertinggi Bersatu.

Mesyuarat itu dijangka membincangkan berkenaan kerjasama dengan UMNO.

Sebelum ini, UMNO  menerusi Mesyuarat Majlis Tertinggi  pada 19 Februari 2021 membuat keputusan tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.

UMNO difahamkan telah menyerahkan surat pemakluman keputusan itu kepada Muhyiddin pada 26 Februari lalu.

Antara pimpinan yang hadir dalam mesyuarat AMT Bersatu ialah Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin, Timbalan Presiden Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Naib Presiden Datuk Seri Ronald Kiandee, Ketua Armada Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Ketua Srikandi Datuk Seri Rina Harun.

Turut kelihatan hadir, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin.

Media bagaimanapun tidak dimaklumkan sama ada akan dijalankan sidang media atau sebaliknya selepas mesyuarat AMT itu selesai.