Datuk Seri Mukhriz Mahathir mencadangkan sistem satu ahli, satu undi (SASU) dalam pemilihan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada pemilihan akan datang.

Timbalan Presiden Bersatu itu berkata ia membuka peluang kuasa memilih diserahkan sepenuhnya kepada semua ahli parti.

"Bagi ketua-ketua bahagian yang hendak bertanding, sekiranya tuan-menjaga ahli, kalau bertanding tetap menang.

"Tetapi kalau tidak membuat kerja, tidak membuka cawangan, turun naik kementerian untuk mencari kontrak, kita lihat apa akan jadi pada pemilihan.

"Jangan bimbang pasal pengundian, ia akan lebih baik dari parti satu lagi," katanya dipercayai merujuk kepada parti UMNO.

Mukhriz berkata demikian semasa penggulungan Timbalan Presiden sempena Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, pada Ahad.

Sementara itu, katanya, persamaan Bersatu dengan UMNO hanya daripada segi tumpuan kepada Melayu dan Islam.

"Setakat itu sahaja persamaan dengan UMNO, selepas itu, bila berlaku penyelewengan, curi duit, bab itu Bersatu tidak ikut UMNO.

"Kita berjuang untuk Melayu, tetapi tidak menyamun Felda, atau membuat 1MDB untuk mengkayakan individu tertentu.

"Itu perbezaan cara kita pertahan Melayu, memartabatkan Melayu bukan dengan cara 'Robin Hood'," jelasnya.

Tambah Mukhriz, UMNO juga sudah terlalu sukar untuk dipulihkan dan meminta Melayu segera menyertai Bersatu.