Muktamar PAS kali ke-61 ini dilihat sebagai satu corak pemilihan paling buruk dalam sejarah PAS kata Ketua Pegawai Eksekutif Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (IDEAS) Wan Saiful Wan Jan.

Menurut beliau, sekiranya hanya ada satu kumpulan yang menerajui sesebuah parti, ia akan mengakibatkan parti itu akan menjadi lebih konservatif.

“Sejak saya menyertai PAS dari 1992 sehingga sekarang, saya rasa corak pemilihan yang berlaku kali ini adalah paling buruk dalam sejarah PAS.

“Sekiranya berterusan dengan sikap yang ada sekarang, saya tidak peliklah sekiranya berlaku perpecahan paling buruk sekali dalam PAS.

"Pada masa yang sama, saya rasa kalau sekiranya hanya ada satu kumpulan majoriti yang menerajui parti, nampak seolah-olah ia satu perkara yang amat tidak baik untuk masa depan parti kerana ia akan menjadi lebih konservatif.

Namun dalam pada masa yang sama, Wan Saiful berkata sudah tiba masanya golongan yang dikatakan pro ulama ini diberikan kepercayaan dan membuktikan kempimpinan pentadbiran mereka.

BACA:
TsunamiproulamadiPemilihan PAS

Pro ulama menang besar dalam pemilihan Dewan Pemuda PAS

"Tapi saya rasa sudah sampai masa untuk golongan so-called ulama ini, diberikan kepercayaan dan diberikan cabaran untuk membuktikan mereka betul-betul boleh buat apa yang dikatakan selama ini merekaboleh buat. Menang maka dapat bantuan Allah, dan seterusnya memenangi pertandingan yang disertai mereka.

"Kalau itu keyakinan mereka, maka saya rasa wajar mereka diberikan kepercayaan dan diberikan cabaran untuk membuktikan bahawa mereka memang boleh mentadbir dan boleh membuat lebih baik," ujar beliau dalam Analisis AWANI pada Khamis.

Mat Sabu, Tuan Ibrahim
Tuan Ibrahim (kanan) menewaskan Mohamad Sabu dengan majoriti sejumlah 602 undi dalam Pemilihan Muktamar PAS ke-61 yang diadakan semalamdiStadium Tertutup Kuala Selangor, Selangor. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar

Tambah beliau yang juga Ahli PAS, kekurangan perbahasan golongan yang dikatakan pro ulama dan golongan profesional akan menyebabkan satu perkembangan yang tidak sihat berlaku dalam PAS.

"Dalam PAS, mereka akan sentiasa berbahas. Jika kita kenal PAS ini, mereka akan sentiasa berbahas walau dalam kem (kumpulan) yang sama. Konsep syura (mesyurat untuk capai kata putus) yang diamalkan PAS itu agak sihat.

"Cumasekaranginimasalahnyayang berlaku adalah, dahulu mereka bersyura antara golongan profesional dan ulama, memandangkan kedua-duanya berbeza ideologi, mereka bersyura dan mencapai satu konsensus.

"Sekarang ini kita lihat syura dilakukan antara golongan profesional bersama profesional dan ulama pula bersama ulama. Itu satu perkembangan yang tidak sihat," jelas Wan Saiful.



Tonton diskusi Analisis AWANI bersama pengacara Nazri Kahar dan panel jemputan Timbalan Naib Canselor UNISEL Prof Madya Shaharuddin Badaruddin dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (IDEAS) Wan Saiful Wan Jan mengenai isu Pemilihan dan Masa Depan PAS.