Muktamar Pemuda Pas riuh apabila usul berkaitan kerjasama parti itu dengan UMNO dibangkitkan Pemuda Pas Kota Raja, hari ini.

Perwakilan Kota Raja mengusulkan desakan kepada Pas Pusat supaya menentukan rakan politik menerusi kaedah tahaluf dan bukannya ta’wun yang terlalu anjal.

“Juga mengambil langkah mengukuhkan Gagasan Sejahtera dengan menzahirkan keikhlasan Pas menerusi lantikan politik dalam kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu kepada rakan Gagasan Sejahtera sekali gus terbuka untuk mereka menjadi ejen semak dan imbang.

“Manakala sebarang hubungan dengan UMNO-BN mestilah diikat oleh garis-garis yang jelas dan berprinsip selain dibuktikan menerusi lantikan politik kepada wakil Pas dan Gagasan Sejahtera dalam kerajaan UMNO-BN di Pahang dan Perlis,” katanya.

Usul tersebut pada awalnya dipersetujui seorang perwakilan dari Gopeng yqng mahukan proses gabungan Pas-UMNO itu dipercepatkan.

“Harap dipercepatkan yang kita ini nak gabung dengan UMNO-BN, kalau dah nak pilihan raya baru nak umum, kita tak sempat beritahu akar umbi. Saya sokong,” katanya.

Perwakilan dari Shah Alam menolak usul tersebut namun perwakilan dari Tumpat menyokong usul tersebut dengan pindaan yang hanya mengekalkan ayat kedua dalam usul tersebut.

Perkara itu menuntut Timbalan Pengerusi Tetap, Dr Riduan Mohd Nor membuat undian setuju dengan pindaan atau menolak usul tersebut.

Setelah undian dijalankan sebanyak dua kali, seramai 273 menyokong usul tersebut dengan pindaan manakala 58 lagi perwakilan menolak usul tersebut.

Usul yang akan dibawa ke Muktamar Pas Pusat esok hanya menyebut “mengukuhkan Gagasan Sejahtera dengan menzahirkan keikhlasan Pas menerusi lantikan politik dalam kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu kepada rakan Gagasan Sejahtera sekali gus terbuka untuk mereka menjadi ejen semak dan imbang.”