Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah tidak menolak kemungkinan bertanding pada pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dijangka berlangsung pada bulan depan.

Beliau berkata, 'sedang mencari ilham' jawatan yang sesuai, namun berkemungkinan besar akan menyertai persaingan merebut kerusi Majlis Pimpinan Pusat.

Saifuddin, yang juga Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan, turut mengesahkan beliau tidak akan bertanding sebagai Ketua Cabang Indera Mahkota, iaitu kawasan Parlimennya.

"Bagi kawasan Indera Mahkota, saya menyatakan sokongan kepada ketua cabang sedia ada, Lee Chean Chun yang telah menjalankan tugas dengan baik termasuk memimpin jentera parti pada pilihan raya umum yang lalu," katanya.

Saifuddin berkata demikian pada sidang media semasa ditemui selepas menghadiri Majlis Kesyukuran Sempena Perasmian Pusat Khidmat Rakyat Indera Mahkota di sini, pada Jumaat.

Beliau juga menyifatkan 'kecantikan' PKR adalah tidak mewajibkan kedudukan dalam parti sebagai syarat wajib untuk dipilih sebagai wakil rakyat, berbeza dengan amalan sesetengah parti.

Katanya, tradisi itu diperlihatkan pada pilihan raya lepas, yang mana ramai calon PKR dan Pakatan Harapan meletakkan calon muda dan mereka yang tidak berjawatan sebagai calon.

"Ini menunjukkan amalan demokrasi matang, seperti yang diamalkan di sesetengah negara maju, asalkan calon itu berkewibawaan, mempunyai ketokohan dan boleh bekerja dia layak untuk dilantik.

"Begitu juga calon kita pada Pilihan Raya Kecil Sungai Kandis Mohd Zawawi Ahmad Mughni. Beliau tidak ada jawatan penting dalam parti tapi berkelayakan, ada ketokohan dan dikenali masyarakat setempat," katanya.

Berhubung pusat khidmat di Indera Mahkota 8, Saifuddin berkata ia dibuka pada Isnin hingga Jumaat pada waktu pejabat, namun perkhidmatannya akan diteruskan di luar waktu pejabat jika ada perkara yang perlu perhatian segera.

Saifuddin berkata beliau juga akan berada di kawasan pada setiap hujung minggu bermula Jumaat, namun ia juga bergantung kepada jadual sebagai menteri yang memerlukan beliau berada di luar kawasan. -- Bernama