Parti Progresif Penduduk Malaysia (MyPPP) Perak sudah bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) sekali gus membawa kemenangan Barisan Nasional (BN).

Pengerusinya, Ong Chee Keng berkata, jentera MyPPP sudah digerakkan, bermula di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Teja, seterusnya ke kawasan-kawasan DUN lain.

Menurut beliau, sebagai sebuah parti yang telah ditubuhkan sejak 65 tahun, MyPPP terbukti mendapat sokongan daripada pelbagai kaum di negara ini.

"Kita bukan sahaja mendapat sokongan orang Cina tetapi turut mendapat sokongan orang Melayu, India dan juga Orang Asli," katanya ketika ditemui selepas majlis jejak kasih ahli-ahli lama MyPPP di Dewan Persatuan Murid-Murid Tua Sekolah Rendah Lawan Kuda di sini, hari ini.

Hadir sama, Naib Pengerusi MyPPP Perak, Mustafar Rahadi; Setiausaha MyPPP Perak, Harder Singh; Ketua Pemuda MyPPP Perak, Mohamed Nor Fadhzil Sahul Hamid; Ketua Wanita MyPPP Perak, S. Tilagawathy dan Ketua MyPPP Bahagian Gopeng, Mohamad Ismail Hod.

Chee Keng berkata, pihaknya hanya menunggu pengumuman Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai calon-calon yang akan bertanding pada PRU-14 ini.

"Siapa sahaja calon, tidak kira dari parti komponen mana, kita akan kerja kuat untuk memastikan kemenangan BN," ujarnya.

Terdahulu, ketika berucap, beliau berkata, kerajaan BN sentiasa mengambil berat kebajikan rakyat, tanpa mengira musim, bagi memastikan tiada masyarakat yang tertinggal dan terpinggir.