MyPPP akan menghantar senarai calon Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak bulan depan.

Presidennya Tan Sri M Kayveas berkata pihaknya sudah mengenal pasti calon-calon bagi kerusi yang MyPPP mahu bertanding.

"Kita sudah selesai mengenal pasti calon. Terdapat kerusi tambahan yang kita mohon kepada Pengerusi BN, terpulanglah kepada beliau untuk beri kerusi tambahan kepada MyPPP.

"Kita sering turun padang ke kawasan yang (MyPPP) mahu bertanding selain telah mengenal pasti anggota parti dan pengundi di kawasan itu.

"Mereka memberi jaminan menyokong kita sepenuhnya jika menjadi calon pilihan raya," katanya kepada Bernama selepas merasmikan kediaman rasmi beliau di Carnation Park di sini, pada Ahad.

Pada PRU13, MyPPP bertanding di kerusi Parlimen Kepong selain kerusi DUN Kota Laksamana (Melaka), Pasir Bedamar (Perak), Kota Alam Shah (Selangor) dan Guchil (Kelantan).

Pada pilihan raya itu, Kayveas bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri Pasir Bedamar namun tewas kepada Terence Naidu V. Raja daripada DAP.

-- BERNAMA