'Najib bukan lagi Presiden UMNO, masing-masing beranilah cakap!'

'Najib bukan lagi Presiden UMNO, masing-masing beranilah cakap!'
Datuk Seri Najib bukan lagi Presiden UMNO, maka masing-masing beranilah cakap atau kebebasan bersuara seperti kehendak Tun Dr Mahathir Mohamad. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kenyataan bahawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai liabiliti dalam usaha mengembalikan kepercayaan rakyat tidak sepatutnya keluar dari mulut orang lama dalam UMNO, ujar Pengarah Institut Kajian Institusi Raja, Kepimpinan dan Komuniti UniMAP, Profesor Datin Paduka Datuk Dr Ramlah Adam.

Jelasnya, dakwaan seumpama itu hanya akan memecahkan parti itu.

"Bagi saya itu adalah cara untuk memecah-belahkan UMNO ... pemimpin lama UMNO beri kenyataan (Najib sebagai liabiliti) seperti itu pula.
"Soal liabiliti, Datuk Seri Najib bukan lagi Presiden UMNO. Memang beliau ahli UMNO tetapi kamu tiada hak untuk halaunya dari UMNO. Itu hak dia. Dia ahli Parlimen Pekan. Jadi, saya rasa kenyataan itu tidak sepatutnya keluar," katanya kepada Astro AWANI, di sini hari ini. 

Bagaimanapun, beliau mengakui prinsip kebebasan bersuara menyebabkan kebanyakan anggota parti menyuarakan pendapat tanpa segan silu.

"Mungkin sebab Datuk Seri Najib bukan lagi Presiden UMNO, maka masing-masing beranilah cakap atau kebebasan bersuara seperti kehendak Tun Dr Mahathir Mohamad," ujarnya lagi.

Justeru, beliau berpendapat orang lama dalam UMNO seperti Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa perlu menjaga integriti parti yang sedang melalui fasa kesusahan.

"Jadi sepatutnya sebagai orang UMNO yang pernah mendapat jasa dan budi baik Datuk Seri Najib, sepatutnya beliau tidak payah keluarkan kenyataan seperti itu," tambahnya.

Apa yang penting ketika ini katanya ialah UMNO perlu menumpukan kepada survival parti.

"Bagi saya UMNO kena fikirkan survival UMNO untuk lima tahun lagi. Itu yang sepatutnya penting. Pemimpin jangan bergaduh," kata beliau.

Sebelum ini, Annuar Musa dan Pengerusi UMNO Wilayah Persekutuan Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, bahawa Datuk Seri Najib boleh dianggap sebagai liabiliti dalam usaha UMNO untuk mendapatkan kembali kepercayaan rakyat.