Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mempersoalkan tindakan kerajaan yang menghentikan Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL).

Menurutnya, projek tersebut amat perlu bagi pembangunan jajaran pantai timur Malaysia.

Ahli Parlimen Pekan itu mendakwa, ia dilihat seolah-olah menghukum penduduk di Kelantan, Terengganu, dan Pahang memandangkan majoriti rakyat di ketiga-tiga negeri itu masih tidak mahu memberi mandat kepada Pakatan Harapan untuk mentadbir mereka.

“Tidakkah siapa sedar yang tiga negeri yang bakal menerima manfaat paling banyak daripada ECRL ini iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang, adalah negeri yang bukan di bawah kerajaan Pakatan?

“Adakah ini satu kesinambungan daripada amalan menghukum negeri pembangkang sebagaimana dilakukan Mahathir ketika menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun apabila Kelantan dinafikan kemudahan asas rakyat seperti lebuhraya, jalan raya, bekalan air dan pembangunan infrastruktur pembentungan?” katanya melalui catatan terbaharu di laman Facebook rasminya hari ini.

BACA: Keputusan batal HSR dan ECRL adalah wajar

BACA: Kajian sama ada ECRL perlu ditunda atau ditangguhkan akan dijalankan – PM

Najib berkata, biarpun Fasa 1 projek itu bagi Gombak hingga ke Kota Bahru sudah melepasi 20 peratus, dan pembatalannya dijangka akan mengakibatkan kos RM22 bilion, kerajaan kini masih mahu membatalkan atau menangguhkannya.

Dalam pada itu, Najib berkata, sewaktu zaman beliau menjadi Perdana Menteri, kerajaan ketika itu memastikan kesemua negeri, tidak negeri di bawah pembangkang (ketika itu) sekali pun, menerima pembangunan infrastruktur asas untuk manfaat rakyat.

Katanya lagi, pentadbiran beliau juga memastikan penyaluran bernilai puluhan billion Ringgit bagi membantu penstrukturan bekalan air di Pulau Pinang, Selangor, dan Kelantan.

Dalam catatan itu, Najib turut memetik laporan media antarabangsa mengenai tindakan kerajaan yang mengarahkan kesemua poster dan papan tanda dengan slogan ‘1Malaysia’ perlu diturunkan, dan mendakwa perpustakaan kerajaan diminta tidak meletakkan buku yang ada menyebut tentang dirinya.

“Laporan ini turut menyebut bangunan Exchange 106 di Tun Razak Exchange (TRX), yang lebih tinggi dari bangunan berkembar KLCC, terlepas dari pembatalan berikutan pembinaannya semakin hampir siap.

“Turut bernasib baik adalah projek infrastruktur awam yang memanfaatkan berpuluh juta rakyat seperti sambungan LRT1 dan LRT2, KLIA2, jambatan kedua Pulau Pinang, MRT1 & MRT2, puluhan UTC, RTC, Lebuhraya Pan Borneo, Central Spine Road (CSR), projek yang sudah disiapkan atau pada peringkat terakhir untuk siap,” katanya.

Najib, yang juga bekas Pengerusi Barisan Nasional, dan Presiden UMNO berkata, beliau tidak kisah jika kerajaan berusaha untuk memadamkan segala legasinya sepanjang sembilan tahun beliau menjadi perdana menteri.

“Namun, kerajaan perlu lebih telus dan lebih bertimbang rasa apabila mereka mula membatalkan pelbagai projek atau inisiatif yang dimulakan untuk manfaat rakyat dan negara, hanya kerana mahu memadamkan legasi saya atau mempunyai persepsi, ia dimulakan oleh saya, lantas ia perlu dihenti atau dipadamkan,” katanya lagi.