"Nak menang, jangan bergaduh sama sendiri" - Tun M

|

Dr Mahathir memberitahu ia tidak mempunyai apa-apa makna jika PH tidak mencapai kemenangan dalam PRU14 nanti. - Astro AWANI/Shahir Omar

SHAH ALAM: : Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan parti-parti gabungan Pakatan Harapan (PH) supaya tidak bergaduh sesama sendiri jika mahu mencapai kemenangan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Ketika berucap di majlis pelancaran manifesto PH, Dr Mahathir mengingatkan penyokong gabungan itu supaya memberi sokongan kepada calon yang diputuskan oleh pimpinan.

"Kalau calon yang dipilih bukan dari parti kita, kena sokong sebab kita mahu mencapai kemenangan.

"Jika asyik tak puashati sebab calon dari parti itu tak dapat, dapat kepada calon parti ini maka kita tidak akan menang," katanya.

Mengulas tentang manifesto yang dilancarkan, Dr Mahathir memberitahu ia tidak mempunyai apa-apa makna jika PH tidak mencapai kemenangan dalam PRU14 nanti.

"Manifesto ini hanya janji kita supaya pengundi tahu apa yang kita hendak buat. Tetapi ianya tidak akan ada guna sekiranya kita tidak menang pilihan raya," katanya lagi.

PH malam tadi melancarkan manifesto yang diberi nama 'Buku Harapan' menawarkan 60 janji sekiranya berjaya memenangi PRU14.

Antara tawaran PH ialah caruman KWSP untuk suri rumah ini merupakan salah satu dari 10 tawaran PH yang akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari pertama mentadbir negara.

Selain KWSP untuk suri rumah, PH juga berjanji akan menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dalam tempoh 100 hari pertama berkenaan.



Outbrain