Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan membentangkan cadangan nama calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) yang dijangka diadakan 9 Mac ini.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sehubungan itu, Biro Politik PKR akan mengadakan mesyuarat khas dalam masa terdekat bagi menentukan calon parti sebelum nama tersebut dikemukakan kepada Majlis Presiden PH..

"Setakat ini, calon belum ditentukan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pelancaran Pameran Sulung Lukisan-lukisan Badariah Abdul Hamid, di sini pada Sabtu.

Beliau berkata PKR Negeri Sembilan dan cabang Rembau diberi peluang untuk mengenal pasti calon-calon yang sesuai dan mencadangkan nama-nama tersebut kepada Biro Politik PKR.

Katanya, biro tersebut telah mengadakan mesyuarat Rabu lalu bagi membincangkan persiapan parti bagi menghadapi PRK (DUN) Rantau selepas mahkamah memutuskan PKR DUN itu perlu diadakan serta-merta.

Ia berikutan keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya di Seremban pada 16 Nov lalu yang mengisytiharkan kemenangan Datuk Seri Mohamad Hasan bagi kerusi DUN Rantau pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tahun lalu adalah tidak sah dan terbatal.

Bagaimanapun, Mohamad, yang juga bekas menteri besar Negeri Sembilan dan timbalan presiden UMNO, gagal dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan pada 18 Feb lalu untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya itu.

Mohamad memenangi kerusi itu tanpa bertanding pada hari penamaan calon pada 28 April tahun lalu selepas calon PKR, Dr S. Streram tidak dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon kerana beliau tidak memiliki pas dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

-- BERNAMA