Tiada tindakan disiplin akan dikenakan terhadap Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz meskipun beliau menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berhasrat bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan Nazri itu tidak mewakili UMNO dan Barisan Nasional (BN) secara keseluruhan, meskipun Nazri menyuarakan sokongan terbuka terhadap Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat itu.

"Apa perlunya tindakan disiplin pada beliau (Nazri)? Kita tiada masalah jika Nazri menyokong Datuk Seri Anwar (Ibrahim) di Port Dickson.

"Kita meraikan perbezaan pendapat... apa yang dinyatakan Nazri itu tidak mewakili UMNO dan BN secara keseluruhan tetapi apa yang ditunjukkan Nazri itu adalah pendapat peribadi beliau dan sebagai Ketua UMNO Bahagian (Padang Rengas), kita hormati perbezaan itu," katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Muktamar Tahunan PAS ke-64 di sini, hari ini.

Nazri yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas sebelum ini berkata beliau serius untuk menyokong Anwar dan PKR sebagai satu jalan untuk mengembalikan UMNO sebagai kerajaan.

Sementara itu, dalam sidang media berasingan, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata pembangkang tidak akan memberi laluan mudah kepada PKR untuk memenangi PRK Port Dickson.

Katanya, ini termasuk PAS bersedia meletakkan calon jika BN atau UMNO tidak bertanding bagi merebut kerusi Parlimen itu yang kosong setelah Ahli Parlimennya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah meletakkan jawatan.

"Kita tidak akan bagi kemenangan percuma kepadanya (Anwar Ibrahim)...kalau dah tak ada orang bertanding PAS boleh bertanding..sekurang-kurangnya kita boleh mengadakan latihan bersama (UMNO) untuk hadapi PRU15 ....kalah menang itu cerita lain...," kata Abdul Hadi. -- Bernama