Semangat patriotisme dalam kalangan rakyat dilihat mampu menangani gelombang neo-kolonialisme di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata gelombang atau cabaran neo-kolonialisme yang dimaksudkan bukanlah penjajahan dalam bentuk fizikal, sebaliknya penjajahan bentuk baru termasuklah penjajahan minda.

Justeru, Zahid mahu generasi X dan Y terus bekerjasama dalam menangani pelbagai kekeliruan yang wujud pada masa kini.

"Di dalam keadaan negara kita dilanda dengan pelbagai isu dan kekeliruan, anak-anak muda dari generasi X dan Y harus mengadakan kolaborasi.

"Dalam zaman kita dilanda oleh gelombang neo-kolonialisme, penjajahan bentuk baru, penjajahan bentuk minda, penjajahan dalam bentuk yang bukan dalam bentuk fizikal, melanda negara-negara yang membangun dan Malaysia tidak terkecuali.

"Hanya dengan adanya semangat patriotisme, saya yakin semua bangsa dapat disatukan, semua agama dapat disatukan, pelbagai budaya, pelbagai bahasa bukanlah permasalahan untuk kita," kata Zahid ketika Majlis Penutupan Kembara Kasih Merdeka 2015 di sini hari ini.


Selain itu, Zahid juga mahu rakyat terus bersatu dengan menjadikan semangat patriotisme sebagai tunggak memupuk sebuah negara bangsa.

"Kita mesti menyatukan, atas nama patriotisme bagi memupuk sebuah negara bangsa, negara Malaysia, dengan kepelbagaian tetapi dalam satu penyatuan yang jitu," jelas Zahid.

Berkenaan Kembara Kasih Merdeka 2015, Zahid mahu lebih ramai penglibatan anak muda dalam program tersebut.

Pada masa sama, beliau juga merancang untuk mengadakan kembara berskala yang lebih besar dengan penglibatan 5,959 peserta pada tahun depan selaras dengan sambutan Kemerdekaan tahun hadapan.