Sering digambarkan sebagai 'Mr Nice Guy' kerana sentiasa tenang, hari ini calon Pakatan Harapan (PH) Nik Omar Nik Aziz mendedahkan sisinya yang sedikit berbeza.

Ketika sedang berucap, Nik Omar menyentuh tentang kecenderungan sesetengah pihak menggunakan agama untuk keuntungan politik.

"Hok kecek Islam ni hok demo, kato ore tubik Pas ni tak dapat rahmat, ini kan bumi Allah, kucing dengan cicak pun dapat rahmat.

"Kecek sedak tu, yakin ko masuk syurga?" bidas calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka.

Hadirin yang mendengar ucapan tersebut, menyahut kata-kata itu dengan teriakan, "Bekeng (garang) Ustaz hari ni!"

"Biaso, naik syeh skali skalo gak," jawab Nik Omar yang kemudian disambut tawa hadirin yang hadir di jelajah PH di sini, hari ini.

TONTON: [WAWANCARA EKSKLUSIF] bersama calon DUN Chempaka Nik Omar Nik Aziz

Nik Omar turut mengulangi permintaan supaya hadirin tidak mencium tangannya ketika bersalam.

"Tok soh la cium tangae ambo. Hok budok-budok skoloh cukuplah.

"Ambo bukae gapo, ambo ni berehi makae budu, payoh la kalu ore dok cium tangan ambo gak," usik Nik Omar.

Tegas anak bekas bekas Mursyidul Am Pas Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu, beliau tidak mahu disanjungi umum keterlaluan kerana bimbang jatuh terduduk kelak.