Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili memberikan tiga sebab utama mengapa parti itu tewas di kerusi dewan undangan negeri (DUN) Tamparuli pada pilihan raya umum yang lepas.

"Sebab pertama ialah kurangnya penyelarasan dan perpaduan di kalangan anggota Barisan Nasional, yang kedua - terlalu yakin, dan yang ketiga - rakyat menjadi mangsa janji-janji yang mengelirukan daripada pembangkang.

"Jika tidak, Tamparuli boleh menjadi kerusi yang sangat boleh menang untuk PBS," kata beliau ketika merasmikan mesyuarat agung tahunan ke-32 N9 Tamparuli parti di Dewan Tun Hamdan di sini, pada Isnin.

Turut hadir anggota Parlimen Tuaran Datuk Seri Madius Tangau, yang juga pemangku presiden Pertubuhan Pasok Momogun Kadazan Dusun Murut Bersatu (UPKO).

Ongkili, yang juga Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air menyifatkan Tamparuli sebagai kerusi tradisi PBS sambil berkata pada pilihan raya umum lepas, terdapat 17,291 pengundi berdaftar di Tamparuli,yang boleh dimenangi oleh PBS dengan selesa.

Pada pilihan raya umum ke-13, presiden Parti Cinta Sabah Datuk Seri Wilfred Bumburing yang ketika itu bertanding atas tiket Parti Keadilan Rakyat menang dalam pertandingan empat penjuru dengan 6,823 undi, hanya perbezaan 383 undi dari calon PBS Datuk Jahid Jahim.

"Menyedari kelemahan kita dalam pilihan raya lepas, saya percaya kita perlu bekerja lebih keras bagi memastikan kita, serta pengundi tidak mengulangi kesilapan," kata Ongkili.

Beliau menegaskan bahawa hasil hubungan baik dengan parti-parti komponen BN yang lain, beliau yakin dapat merampas kembali kerusi Tamparuli.

Ongkili berkata BN masih lebih baik daripada parti pembangkang yang belum mempunyai rekod prestasi yang baik untuk menjadi rujukan.

"BN akan terus berjuang untuk rakyat dan PBS, sebagai parti pelbagai kaum, yang menjadikan ita unik daripada parti-parti lain, akan bekerja keras untuk menjamin hak rakyat Sabah dan Sarawak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963, dipertahankan," kata beliau.

-- BERNAMA