Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini kesal dan kecewa apabila orang Melayu dan Bumiputera di negara ini tidak boleh mengadakan perhimpunannya sendiri untuk membincangkan nasib dan masa depan kaum itu, tanpa terlepas daripada dilabel sebagai rasis.

Dalam catatan terbaharu di blog peribadinya bertajuk “Malay Dignity Congres”, beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan dan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia berkata, ia adalah situasi yang menyedihkan kerana orang Melayu dan Bumiputera banyak bertoleransi dengan kaum lain.

“Apabila banyak jajahan Eropah mencapai kemerdekaan, kebanyakkan orang bukan asal di negara itu telah didiskriminasi. Ada yang terpaksa meninggalkan negara itu, ada yang diserang secara ganas.

“Berbeza pula dengan negara ini. Orang bukan penduduk asal telah diterima menjadi warganegara. Malah, lebih sejuta bukan penduduk asal telah diberi taraf kewarganegaraan, walaupun hakikatnya mereka tidak layak,” kata Dr Mahathir lagi.

Perdana Menteri berkata, beliau amat terkejut apabila dinasihati untuk tidak menghadirkan diri ke Kongres Maruah Melayu yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam, pada 6 Oktober lepas.

“Sudah jelas mereka yang hadir pada perhimpunan itu mahu membincangkan mengenai nasib dan masa depan orang Melayu, serta kemungkinan kehilangan maruah, atau apa jua maksud yang berkaitan.

“Seperti biasa memang ada pandangan yang dikira agak ekstrim, tetapi secara keseluruhannya peserta kongres itu bersifat rasional,” kata Dr Mahathir.

Beliau berkata, ia sesuatu yang tidak boleh diterima jika kaum lain boleh mengadakan perhimpunan untuk membincangkan nasib mereka, tetapi apabila orang Melayu berbuat demikian, terus dianggap perkauman.

Malah, tulisnya lagi, ada yang mendesak agar penganjur perhimpunan itu dibuang daripada jawatan masing-masing.

Malaysia, menurut Perdana Menteri, merupakan sebuah negara yang berbilang kaum dan mengamalkan sikap toleransi antara satu sama lain, dan atas sebab itu, perhimpunan khusus untuk kaum-kaum tertentu adalah normal, dan tidak menyalahi undang-undang.

Tetapi lain pulanya yang berlaku apabila orang Melayu menganjurkan perhimpunan, luahnya lagi.

“Dan saya sudah pasti akan dilabel sebagai rasis kerana menulis artikel ini,” kata Dr Mahathir.