Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan mengingatkan orang Melayu dan umat Islam supaya bersatu padu dan mengelak daripada perpecahan.

"Orang Melayu dan orang Islam jangan berpecah belah dan elakkan persengketaan. Kita boleh berlainan pendapat dan berselisih pandangan tetapi itu tidak boleh dijadikan sebagai asas untuk kita berpecah belah kerana jika kita berpecah belah, kita akan menjadi lemah.

"Jangan terpedaya, terlena dan asyik mendengar kata-kata yang hendak memecah-belahkan kita. Yang penting pada kita ialah mesti bersatu-padu," katanya pada majlis khatam al-Quran dan berbuka puasa di Masjid Tuanku Jaafar di sini, malam Khamis.

Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Dr Awaludin Said, Anggota Dewan Undangan Negeri Paroi, Mohd Ghazali Abd Wahud dan Pengerusi Kariah Masjid Tuanku Jaafar Datuk Azman Hassan.

Mohamad berkata orang Melayu dan umat Islam hendaklah berwaspada kerana usaha memecah-belah dan melemahkan mereka sentiasa ada.

Beliau berkata orang Melayu dan umat Islam hendaklah bersyukur dengan segala nikmat yang diperoleh di negara ini.

"Ini kerana ada negara yang rakyatnya hidup susah dan kebuluran. Kita di sini, Alhamdulillah....syukurlah, apa kita hendak makan semua ada. Susah-susah kita di sini tidak sesusah seperti orang lain. Banyak orang lebih susah daripada kita.

"Jadi, marilah kita bersyukur kerana orang yang bersyukur ini akan sentiasa insaf kepada diri dan akan sentiasa bersyukur atas nikmat Allah," katanya.

Pada majlis itu, 454 peserta dalam kalangan dewasa serta remaja lelaki dan perempuan khatam al-Quran.

Mohamad turut menyampaikan sagu hati kepada peserta Tadarus al-Quran dan anggota jawatankuasa masjid berkenaan.

Mereka yang hadir, turut menunaikan solat Maghrib, Isyak dan solat sunat Tarawih.

-- BERNAMA