Berita  |  Politik

Pagoh tetap di hati - Muhyiddin

Pagoh tetap di hati - Muhyiddin
MUHYIDDIN: Pilihan pertama saya mungkin Pagoh. Tetapi, apa pun, jika majlis kepimpinan tertinggi memberi pandangan yang lain, saya akan patuh pada keputusan itu. - Gambar fail
BANDARAYA MELAKA: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yassin tetap meletakkan Parlimen Pagoh sebagai pilihan utamanya untuk bertanding pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 akan datang.

Bagaimanapun, masih terlalu awal, katanya, untuk diperbincangkan perkara itu dan menyerahkan kepada majlis pimpinan tertinggi parti menentukan calon terbaik untuk bertanding di mana-mana kawasan.

"Belum ada apa-apa keputusan. Perkara seperti ini akan diputuskan majlis kepimpinan tertinggi.

"Tentang siapa akan menjadi calon dan kawasan mana, dan sebagai presiden parti, saya akan bertanding.
"Pilihan pertama saya mungkin Pagoh. Tetapi, apa pun, jika majlis kepimpinan tertinggi memberi pandangan yang lain, saya akan patuh pada keputusan itu," katanya.



Beliau ditemui pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PPBM di Tanjung Kling, Melaka, malam tadi yang turut dihadiri Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad.

Muhyiddin mengulas mengenai ura-ura yang semakin hangat diperkatakan di mana beliau bakal bertanding di Parlimen Muar pada PRU14 bagi menyambung hayat politiknya.

Muhyiddin, yang juga ahli Parlimen Pagoh selama lima penggal, bukan merupakan orang asing di Muar.

Abang sulungnya, Tan Sri Abdul Aziz Yassin adalah bekas wakil rakyat Muar pada tahun 90-an dan pernah menjadi ketua UMNO bahagian Muar.

Semalam, Ahli Parlimen Muar Datuk Razali Ibrahim berkata dia tidak gentar untuk mempertahankan kerusi Parlimen tersebut walaupun ia dianggap kawasan berisiko '50-50' buat UMNO pada PRU14.

Bagi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, proses demokrasi adalah lumrah dalam berpolitik.