Pas kawasan Alor Setar kesal apabila papan iklan provokasi dibenarkan dipasang di jalan raya utama bandaraya ini.

Timbalan Ketua Penerangannya, Mohd Azam Awang berkata, gambar orang memakai serban dan jubah berwarna hijau yang dipaparkan berjalan ke arah lambang BN jelas menunjukkan ia suatu sindiran terhadap Pas.

Menurutnya, papan iklan di Jalan Tambang Badak itu tidak sepatutnya dipasang kerana boleh menimbulkan suasana tidak harmoni selain menyentuh sensitiviti parti lain.

“Papan iklan itu mempunyai maksud tersirat dan berniat tidak baik untuk mengelirukan masyarakat.

"Ia juga beri gambaran wujud politik tidak sihat menerusi lakaran ‘pak lebai berjalan pilih BN’,” katanya.

Mohd Azam yang juga Ketua Urusan Penerangan Majlis Tindakan DUN Suka Menanti turut menyifatkan perbuatan itu sebagai tidak profesional.

“Kami harap Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) mengambil tindakan sewajarnya.

"Ia sama ada menurunkan papan iklan provokasi itu atau beri amaran kepada pengiklan untuk ubah kepada yang lebih harmoni,” katanya.

Menurutnya, paparan ‘Tinggalkan Pakatan, Masuklah Barisan’ tidak mengundang kemarahan akar umbi Pas.

"Sebaliknya gambar yang dipaparkan tidak sesuai dan ia menjadi persoalan ahli Pas.

“Jika parti kerajaan yang bertanggung jawab, saya harap mereka lebih sensitif tentang perkara ini.

"Kita tak halang papan iklan manifesto atau promosi kempen BN, asalkan ia bukan provokasi melibatkan parti lain,” katanya.

Tambahnya, BN seharusnya memasang papan iklan mempromosi parti itu, bukannya memperlekeh parti lain selain mengamalkan amalan demokrasi yang sihat.