Pakatan Harapan membuat pengakuan bahawa mereka telah meminta bantuan media luar untuk menimbulkan perkara berkaitan dengan sebuah syarikat pembangunan strategik kerajaan 1Malaysia Development Berhad, hari ini.

Pengerusi Pakatan Harapan selaku Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa bahawa pakatan berkenaan terpaksa berbuat demikian kerana media tempatan tidak melaporkan mengenai perkara tersebut.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sewaktu sidang media di Parlimen yang turut dihadiri Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Dr Mahathir juga diminta mengulas mengenai kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkenaan Pakatan Harapan meminta pihak luar untuk campur tangan untuk menggulingkan kerajaan Barisan Nasional pada 17 Mac. -- Bernama