Kepimpinan Pakatan Harapan (PH) akan bermesyuarat dalam tempoh terdekat bagi membincangkan penyertaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sebagai salah satu ahli barunya dalam kerjasama tersebut.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Salahuddin Ayub berkata tujuan utama menerima keahlian parti itu adalah sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Katanya, beliau bersetuju berhubung cadangan untuk menerima PPBM di dalam PH adalah untuk memperkukuhkan ikatan menghadapi Barisan Nasional dalam PRU kelak.

Tambahnya, agenda utama kini adalah mendapatkan kelulusan bagi penerimaan PPBM sebelum berusaha mendaftarkan lambang yang bakal digunakan PH.

“Saya harap selepas kita berjaya, Pakatan Harapan yang di dalamnya ada Parti Bersatu, kita akan daftar kepada RoS (Pendaftar Pertubuhan)dan saya harap RoS tiada alasan untuk menolak permohonan kami dan meluluskan Pakatan Harapan dan kita boleh memiliki lambang dan dengan lambang itulah dengan satu lambang itulah akan kita hadapi PRU akan datang,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Konvensyen Amanah Negeri Perak di sini pagi tadi.

Tambah Salahuddin, pembangkang juga akan membincangkan mengenai pecahan kerusi bagi menghadapi PRU akan datang selepas mesyuarat yang menentukan kemasukan PPBM dilaksanakan.