Parti-parti pembangkang di dalam Pakatan Harapan akan secara rasmi mendaftar pakatan itu dalam berdepan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu berkata ia adalah keputusan bersama yang dicapai pada mesyuarat pertama Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

"Selepas ini empat parti ini akan terus mesyuarat berbincang terutama sekali untuk menghadapi PRU. Kami juga telah membuat keputusan untuk mendaftarkan Pakatan Harapan.

"Di mana nama 18 pimpinan tertinggi akan dimasukkan untuk mendaftarkan pakatan ini sebagai satu gabungan untuk berdepan PRU akan datang," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Parlimen hari ini.

Mesyuarat yang berlangsung selama hampir dua jam itu dihadiri pemimpin dari keempat-empat parti.

Pada mesyuarat itu juga, Mohamad Sabu berkata pakatan itu juga telah bersetuju untuk mempunyai satu manifesto dan satu logo untuk pilihan raya akan datang.

"Perundingan kerusi masih lagi di peringkat awal dan belum ada keputusan muktamad lagi kerana pilihan raya pun belum tahu lagi," katanya.

Antara yang hadir termasuklah Penasihat PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

PPBM secara rasmi menyertai Pakatan Harapan pada Isnin lalu selepas Majlis Presiden Pakatan Harapan membuat keputusan untuk menerima parti itu dalam gabungan tersebut.