Pakatan Harapan (Harapan) Pulau Pinang pada Rabu melancarkan manifesto negeri bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bertemakan 'Saya Sayang Pulau Pinang', dengan menawarkan 68 janji kepada rakyat negeri ini.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam ucapannya memaklumkan, janji manifesto itu akan dilaksanakan di Pulau Pinang sekiranya berjaya mengekalkan kemenangan pada PRU14.

Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, antara janji yang disenaraikan dalam manifesto itu termasuk mengehadkan jawatan ketua menteri kepada dua penggal.

Selain itu, pelbagai projek infrastruktur juga akan diteruskan, termasuk lebuh raya dan terowong dasar laut di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang yang menggabungkan LRT dan sistem bas awam bagi menangani masalah lalu lintas negeri ini.

Warga emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU) pula akan menikmati bantuan tahunan wang tunai dari RM130 hingga RM200.

Manakala bantuan kewangan kos sara hidup juga akan diberikan kepada wanita yang mempunyai pendapatan kurang daripada RM2,000 sebulan.

Sementara itu, Harapan juga berjanji untuk membina 75,361 rumah kos rendah, rumah kos sederhana rendah dan rumah mampu milik menjelang tahun 2025.

Lebih 1,000 penyokong Harapan hadir pada majlis pelancaran manifesto itu yang diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Pulau Pinang di sini malam tadi.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri II P. Ramasamy, Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow, Pengerusi PKR negeri Datuk Mansor Othman, Pengerusi Parti Amanah Negara Pulau Pinang Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia Pulau Pinang Marzuki Yahaya.