Pakatan Harapan (PH) tidak akan tunduk kepada amaran Pas agar melupakan hasrat bertanding di 80 kerusi majoriti Melayu yang disasarkan parti itu untuk berdepan UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata, Pas sendiri bukan sebahagian daripada PH sekali gus tidak terlibat dalam sebarang perbincangan agihan kerusi yang dibuat.

"Jadi dalam konteks itu sudah pastinya PH akan bersedia berhadapan Pas dalam pertembungan tiga penjuru dalam banyak kawasan dan itu juga akan sedikit sebanyak memberi kesan kepada keputusan PRU akan datang.

"Bagi Pas, jika mahu PH untuk tidak bertanding di beberapa kerusi khususnya di kerusi kubu kuat mereka, ia juga akan menimbulkan dilema bagi parti Amanah sendiri - sejauh manakah Amanah sudah dilihat sebagai parti serpihan Pas yang menyertai PH. Sekiranya PH, parti-parti lain menerima keputusan Pas, ia juga akan memberi impak kepada kedudukan Amanah sendiri.

"Dalam konteks ini saya percaya, jika sekiranya Pas mahukan kerjasama pilihan raya bersama PH, barangkali PH sendiri juga akan mengenakan beberapa syarat dan akhirnya sukar untuk melihat keadaan menang-menang kepada semua," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

BACA: Pas bakal tewas di Kelantan jika enggan sertai Pakatan Harapan - Pemuda PKR

BACA: Pas bertanding 30 kerusi DUN, 10 kerusi Parlimen di Pahang


Sivamurugan berkata demikian ketika mengulas amaran Ahli jawatankuasa Pas Pusat Mohd Khairuddin Aman Razali yang tidak mahu PH mengganggu 80 kerusi majoriti Melayu yang disasar parti itu untuk mengekal kemahuan pertandingan dua penjuru pada PRU akan datang.

Naib Presiden Pas Idris Ahmad sebelum ini dilaporkan berkata Pas berhasrat untuk bertanding 80 kerusi Parlimen, termasuk kemungkinan di kerusi yang dimenangi DAP dan PKR.

Bagaimanapun ia dibidas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengingatkan Pas agar tidak 'berangan' untuk memenangi 80 kerusi tanpa menyertai gabungan pembangkang.

Sebelum ini juga, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti itu tidak akan sekali-kali mengorbankan kerusi yang memang sudah menjadi tradisi mereka demi semata-mata memberikan laluan kepada parti pembangkang lain.

Tegasnya, keputusan itu muktamad kerana Pas sendiri tidak akan menyertai PH dalam menghadapi PRU akan datang.