Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil hari ini menafikan satu laporan akhbar tempatan yang mendakwa beliau akan bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia pada 8 September depan.

Laporan portal Inggeris yang memetik sumber itu mendakwa, Fahmi berkemungkinan akan dinamakan sebagai calon Seri Setia untuk mengosongkan kerusi Lembah Pantai yang disandangnya.

Menurut laporan itu lagi, ia bagi memberi laluan kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di kerusi Parlimen tersebut.

Dalam sebuah mesej menerusi aplikasi WhatsApp, Pengarah Komunikasi PKR itu mengirim satu paparan skrin artikel berkenaan dengan kapsyen fake news (berita palsu) tertera di foto itu.

Paparan skrin yang dikirim Fahmi Fadzil.

Selain itu, beliau juga memuat naik tweet yang berbunyi ... "and we just repealed the Anti-Fake News Act today." (Kami baru sahaja memansuhkan Akta Antiberita Tidak Benar hari ini.)

BACA: Dewan Rakyat lulus RUU mansuh Akta Antiberita Tidak Benar

PRK DUN Seri Setia diadakan selepas kerusinya kosong susulan penyandangnya Profesor Shaharuddin Badaruddin meninggal dunia akibat barah usus pada 2 Ogos lalu.

Manakala, PRK DUN Balakong diadakan susulan kematian penyandangnya, Ng Tien Chee yang maut dalam kemalangan di KM11.7 Lebuhraya Grand Saga pada 20 Julai lalu.