Undang-undang untuk menyekat wakil rakyat daripada memberi kerusi kepada orang lain perlu berada di bawah bidang kuasa Parlimen.

Ini merupakan cadangan yang diutarakan Pengerusi Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem Dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman.

"Ini bukan bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana SPR menjaga proses pilihan raya. Tiada negara yang memberi kuasa begini kepada suruhanjaya pilihan raya mereka.

"Memang perlu ada undang-undang ini bagi menyekat wakil rakyat daripada berbuat demikian tetapi mungkin perlu berada di bawah bidang kuasa Parlimen sendiri," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian susulan kontroversi bekas Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Danyal Balagopal Abdullah meletak jawatan bagi memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali ke Dewan Rakyat.

Susulan itu, Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson akan diadakan pada Sabtu di mana menurut SPR akan menelan belanja sebanyak RM3.6 juta.

Anwar akan berentap bersama enam calon lain esok termasuk bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Isa Samad, calon Pas Leftenan Kololonel (B) Mohd Nazari Mokhtar dan bekas pembantu peribadi Anwar, Saiful Bukhari Azlan.

Sementara itu, menurut Abdul Rashid, ERC juga sedang mengkaji proses penamaan calon sedia ada, di mana jawatankuasa tersebut akan mendapatkan pandangan rakyat.

"Adakah anda suka dengan proses penamaan sekarang ini? Dengan bergendang, berarak sana sini, cuma tidak ada bawa gajah dan harimau sahaja.

"Adakah ini sesuai? Kami akan bertanya kepada seluruh negara untuk memastikan sama ada rakyat setuju atau tidak dengan cara hari penamaan calon ini dijalankan," katanya.

Mengenai cara peti undi disimpan, Abdul Rashid berkata beliau tidak setuju dengan proses sedia ada.

"Bagi saya, cara penyimpanan peti undi sekarang ini tidak telus," katanya.

Tambah beliau, sepatutnya peti undi perlu diletakkan di tempat khas yang diketahui umum supaya dapat menjamin ketelusan sistem dalam pilihan raya.