Tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad mewujudkan parti baharu di negara ini hanya akan mengeruhkan kestabilan politik negara sekali gus memberi kesan langsung kepada rantau ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengingatkan mereka yang ghairah mewujudkan parti politik baharu untuk memikirkan masa depan negara.

Ahli Parlimen Sembrong itu menegaskan segala tindak tanduk yang beliau sifatkan sebagai berkepentingan peribadi itu akhirnya akan dinilai semula oleh generasi akan datang.

“Kalau kita terus bercakaran, wujud pelbagai parti ia hanya akan mengeruhkan keadaan dan mewujudkan satu keadaan yang tidak stabil kepada negara kita dan ia akan membawa kesan ke rantau kita.

BACA: Tun Mahathir umum akan tubuh parti Melayu baharu

“Ini diperhatikan oleh negara lain di ASEAN... penting untuk semua pihak bertanggungjawab kerana apa yang kita lakukan hari ini akan memberi kesan kepada generasi anak cucu cicit kita.

“Kita tidak mahu disalahkan oleh mereka bahawa semasa kita memimpin, kita tidak pertahankan hak mererka sendiri untuk hidup dalam satu negara dan juga rantau yang selamat.

“Selain melihat bahawa kepimpinan hari ini tidak hanya dibelenggu pertimbangan peribadi dan puak-puak tertentu, kita mesti letak kepentingan negara dan juga rakan-rakan serantau sebagai keutamaan. Ini dapat disedarkan kepada mereka yang ghairah sekarang ini yang nak mewujudkan parti baharu,” katanya pada sidang media di Wisma Putra hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan Dr Mahathir yang juga bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menubuhkan parti baharu yang berasaskan kepada perjuangan Melayu.

Menurut Dr Mahathir, parti itu berbeza dengan parti Melayu dan Pribumi lain yang dikatakan telah menggadai maruah bangsa, agama dan hala tuju perjuangan kepada golongan yang gilakan kuasa.