Setiap parti komponen Barisan Nasional (BN) memperjuangkan kepentingan kaum masing-masing adalah perkara biasa, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata ini kerana objektif asal penubuhan parti komponen BN seperti UMNO, MCA mahupun MIC, antara lain bertujuan membela nasib kaum sendiri.

"Kita kena memahami peranan penubuhan parti yang mana sekiranya UMNO tidak berjuang untuk orang Melayu begitu juga MCA tidak memperjuangkan orang Cina dan MIC tidak memperjuangkan nasib orang India, ia sudah tidak relevan," katanya kepada pemberita selepas berkunjung ke Rumah Kebajikan Warga Emas Sang Riang bersempena Tahun Baharu Cina, di sini pada Isnin.

Sebelum itu, Ismail Sabri yang merupakan Anggota Parlimen Bera turut mengunjungi beberapa rumah terbuka masyarakat Cina di daerah ini.

Beliau berkata walaupun memperjuangkan kepentingan kaum masing-masing, UMNO, MCA dan MIC tetap terus bersatu di bawah BN dengan pendekatan toleransi.

Ismail Sabri berkata sehubungan itu masyarakat diminta jangan mudah sensitif apabila sesebuah parti itu dilihat cuba memperjuangkan sesuatu untuk kaum sendiri.

Beliau berkata perbezaan agama dan budaya bukan penghalang untuk penyatuan kaum di negara malah ia dianggap sebagai satu kelebihan untuk merapatkan lagi hubungan satu sama lain.

"Perbezaan boleh merapatkan lagi hubungan kalau kita saling memahami dan bertoleransi antara satu sama lain," katanya.