Semua pihak sama ada parti pemerintah atau pembangkang di Perak tidak dibenarkan menggunakan dewan orang ramai untuk penganjuran sebarang program atas nama politik.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata penganjuran program berbentuk kesihatan, pendidikan, keselamatan atau kemasyarakatan di dewan orang ramai oleh mana-mana parti dibenarkan dengan syarat tidak menggantung bendera parti politik masing-masing.

"Tidak kiralah parti Bersatu, PKR, Amanah, DAP termasuk UMNO dan PAS, mereka boleh menggunakan kemudahan dewan orang ramai kerana dewan itu dibina memang untuk kegunaan rakyat tanpa mengira fahaman politik.

"Ia (larangan penggunaan dewan orang ramai untuk tujuan politik) merupakan dasar kerajaan negeri Perak pimpinan Pakatan Harapan (PH)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Lambor Kiri di sini, hari ini.

Ahmad Faizal menegaskan semua pihak juga tidak sewajarnya mempolitikkan apa sahaja program yang dianjurkan mereka semata-mata mahu memancing undi rakyat.

"Kalau nak mendapat sokongan dari rakyat, perlu tunggu waktu pilihan raya dan janganlah sentiasa berpolitik sepanjang masa," katanya.

-- BERNAMA