Parti pembangkang yang terbentuk daripada 'serpihan' parti-parti politik utama di negara ini tidak akan mampu bertahan untuk suatu tempoh yang lama malah sukar menembusi kubu kuat UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, BN meletakkan sepenuh keyakinan bahawa pengundi setianya tidak akan menukar haluan sebaliknya terus memberikan sokongan bagi memastikan kemenangan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

"Kita tahu bahawa pengundi setia BN tidak akan bertukar walaupun ada parti serpihan kerana parti serpihan ini tidak akan kekal, tidak boleh buat apa-apa malah tidak boleh membantu dalam membangunkan sesuatu kawasan.

"Contohnya parti serpihan daripada PAS, akan mati macam itu sahaja...sama juga dengan Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia), akan gagal, katanya kepada pemberita selepas menghadiri Jelajah Muafakat Rakyat 2018 DUN Gurun di Kampung Baru Bedong dekat sini, hari ini.

Ahmad Bashah berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan parti pembangkang yang cuba mencari pengaruh dalam kalangan penyokong tegar UMNO dan BN.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, masyarakat berbilang kaum, khususnya Cina dan India, di Kedah kini bijak dalam membuat pilihan walaupun sebelum ini pernah salah membuat keputusan.

"Masyarakat Cina dan India di Kedah, saya tidak bimbang kerana depa (mereka) tahu hendak memilih, walaupun ada sebelum ini kesilapan tetapi apabila mereka melihat apa yang berlaku di Pulau Pinang dan Selangor, apabila kaum Cina sendiri hilang keyakinan kepada kerajaan Pulau Pinang dan Selangor.

"Mereka tahu BN yang buat pembangunan selama ini... jadi saya yakin, khususnya di Kedah, kaum Cina akan buat keputusan yang terbaik," katanya.

Sementara itu, Ahmad Bashah turut meluangkan masa beramah-mesra dan menikmati hidangan tengah hari bersama pengundi Cina di Kampung Bharu Bedong, di sini, hari ini, selain meluluskan peruntukan berjumlah RM70,000, untuk diagihkan bagi pembangunan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Sin Kuo Min, membaiki bangunan tokong serta pengurusan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Bharu Bedong.

Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama ibu bapa Tabika Kemas di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu 5 Jalan Jeniang, Gurun, serta beramah mesra bersama Pengundi India menerusi Program Khidmat Kesihatan Dan Derma Darah di Pasaraya Aneka Gurun.

Ahmad Bashah berkata, Jelajah Muafakat Rakyat akan diteruskan ke empat lagi kawasan Parlimen iaitu Padang Serai, Sik, Kubang Pasu dan Baling.

-- BERNAMA