Pas akan tetap menentang Umno dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Menurut presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang parti itu lebih selesa bergerak bersendirian bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata Pas mempunyai matlamat yang jelas dan yakin akan terus mendapat sokongan rakyat dalam PRU14.

Jelasnya lagi, kerjasama antara Umno dan Pas hanya tertumpu kepada usaha menangani pelbagai isu membabitkan kepentingan rakyat di negara ini.


“Kita bekerjasama dalam isu-isu negara, bukan isu pilihan raya. Kita bersendiri, tidak kerjasama dengan Umno. Kita akan bertanding lawan Umno pilihan raya ini (PRU14),” kata Abdul Hadi selepas menyampaikan kuliah di Masjid Rhusila, di sini hari ini.

Ditanya mengenai tindakan bekas perdana menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam senario politik semasa, beliau berkata Pas lebih cenderung ke arah menjayakan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (pindaan) 2016, RUU 355.

“Beliau sudah berpaling tadah hampir keseluruhannya, InsyaAllah, RUU akan berjaya dan perundingan bersama kerajaan adalah telus untuk menjayakan RUU 355,” jelas Abdul Hadi lagi.

Usul bagi Rang Undang-Undang Persendirian iaitu Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 telah dibentang oleh Abdul Hadi yang juga ahli parlimen Marang untuk bacaan kali kedua sidang Dewan Rakyat, November lalu.