Barisan kepimpinan Pemuda Pakatan Harapan menjangkakan UMNO Kelantan dapat menewaskan Pas, sekali gus dapat membentuk kerajaan baharu di negeri itu sekiranya Pas berdegil untuk tidak bersama dalam Pakatan Harapan.

Menurut Ketua Pemuda Amanah Kelantan, Hazmi Hassan, ia berdasarkan situasi semasa di mana anak muda negeri itu dilihat keliru dengan kekalutan politik semasa.

Katanya, lebih 42,000 anak muda Kelantan yang berada di perantauan bertindak menukar tempat mengundi dan tidak mahu pulang ke negeri itu untuk mengundi.

Tambahnya, anak muda Kelantan kini berasa bosan dengan sikap yang ditunjukkan Pas yang dilihat kabur dalam memilih hala tuju perjuangan mereka.

“Kalau Pas tidak bersama Pakatan Harapan, Pas akan kalah berdasarkan PRU 2004 semasa Tok Guru (Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) ada lagi,” kata Hazmi.

Menurutnya, berdasarkan keputusan pilihan raya umum ke-12 dan 13 lalu, kemenangan Pas di Kelantan disumbangkan oleh pengundi muda dari luar Kelantan.

“Dan pada PRU13, Pas sudah kalah, kemenangan UMNO meningkat dan Pas bergantung kepada pengundi luar di mana 40,000 pengundi di perantauan menukar tempat mengundi,” kata Hazmi lagi.

Untuk itu, tambahnya, Pakatan Harapan mempelawa kepimpinan Pemuda Pas, termasuk Ketua Dewan Pemudanya, untuk bersama dalam Konvensyen Pemuda Harapan Kelantan pada 15 April depan.

Menurut Hazmi, Pemuda Pas Kelantan akan diberikan ruang dan slot untuk berucap sekiranya mereka menyatakan persetujuan untuk hadir ke konvensyen berkenaan.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Pengarah Komunikasi PKR Kelantan, Mohd Sukiman Mustafa memaklumkan PKR negeri akan mempertahankan kerusi yang ditandingi mereka di Kelantan walaupun kerusi berkenaan dipinjamkan oleh Pas.

Katanya, sekiranya tahaluf siyasi terbubar di antara Pas dan PKR melalui ketetapan dalam Muktamar Pas bulan ini,
PKR tetap akan meletakkan calonnya di tujuh kerusi tersebut dan menentang calon yang bertanding di kerusi berkenaan, termasuk dari Pas.

“Mengikut Pengerusi PKR Kelantan, kerusi itu kita akan pertahankan. Kita tetap bertanding walau apa sekali pun. Kalau Pas nak pun kita akan lawan.

“Kalau tahaluf siyasi terputus, akan berlaku perlawananlah; kalau ada tahaluf siyasi tak akan berlaku pertandingan,” kata Mohd Sukiman.

Katanya lagi, PKR Kelantan tetap inginkan kerusi yang mereka telah tandingi dan akan meletakkan calon pada pilihan raya umum akan datang.

Tujuh kerusi itu, masing-masing tiga kerusi parlimen dan empat kerusi DUN, diperuntukkan kepada PKR Kelantan pada pilihan raya umum yang lepas.

Kerusi berkenaan melibatkan Tanah Merah (Parlimen), Machang (Parlimen), Ketereh (Parlimen), Pengkalan Kubor (DUN), Kuala Balah (DUN), Guchil (DUN), Nenggiri (DUN).

Beberapa Pas kawasan sebelum ini mengemukakan usul supaya Pas pusat memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR dan usul berkenaan akan dibawa ke muktamar bulan ini.