Pas akan membawa agenda yang lebih besar kepada rakyat Terengganu jika berjaya menguasainya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Justeru Ketua Dewan Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi yang juga calon DUN Batu Buruk, berharap agar rakyat terus memberi peluang bagi mempertahankan kemenangan khususnya di kawasan yang ditandinginya.

Anak kepada Presiden Pas itu percaya, kredibiliti calon yang akan dinilai oleh pengundi dan bukan mengikut hubungan kekeluargaan atau seumpamanya.

“Yang pertamanya apa yang diputuskan parti ini adalah satu tanggungjawab dan kewajipan yang sangat besar.

“Harapan saya agar rakyat dan pengundi di Batu Buruk memberikan sekali lagi peluang kepada Pas untuk membawa agenda yang lebih besar kepada rakyat di negeri Terengganu,” katanya.

Sementara itu Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Prof. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar optimis untuk mempertahankan kerusi DUN Rhu Rendang yang sebelum ini disandang Presiden Parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Bagi Pas kita melihat seluruh kerusi yang ada di negeri Terengganu dan tempat-tempat lain adalah kerusi yang memerlukan setiap calon yang terlibat dalam pilihan raya ini untuk turun dan bertemu dengan rakyat seramai mungkin.

“Objektif kita adalah sama iaitu untuk memberi khidmat yang terbaik kepada rakyat atau penduduk di kerusi berkenaan,” katanya selepas Majlis Pengisytiharan Calon Pas Terengganu PRU14 di Rusila, Marang pada Khamis.

Muhammad Khalil akan menggalas cabaran di DUN Batu Buruk, manakala Ahmad Samsuri pula dicalonkan di DUN Rhu Rendang bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Abdul Hadi.

Abdul Hadi kali ini hanya bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Marang.