Pas belum dapat menentukan sejauh mana tahap sokongan pengundi kaum Cina di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia.

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bagaimanapun berkata, parti itu mengambil maklum mengenai jiwa dan hati kaum Cina yang mahukan pemimpin yang mampu menunaikan janji.

“Sokongan pengundi Cina (kepada Pas di Seri Setia) masih nampak tak jelas lagi. Cuma indikatornya, nampak mereka marah dengan pembohongan kerana orang Cina ini mereka berdasarkan (faktor) kepercayaan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Pas Selangor di sini hari ini.

Turut hadir calon Pas Pilihan Raya Kecil (PRK) Seri Setia, Dr Halimah Ali.

Menurut Tuan Ibrahim, sikap orang Cina yang berpegang kepada janji bukan perkara baharu dan perlu ditangani sebaik mungkin.

“Kalau kita buat janji seperti Janji 100 hari PH jika mereka tidak tunai janji, bagi orang Cina ini benda besar sebab pemimpin tak boleh bohong sebab ini jiwa dan hati dia. Bagi pengundi Cina ini isu besar. Kita buat janji dan kita buat helah. Ini tak boleh,” tambahnya lagi.

Pas dalam pada itu turut mengalu-alukan kerjasama dari mana-mana parti politik dan NGO yang mahu memberi sokongan kepada calon Pas di Seri Setia.

Pada masa sama, beliau sedia menerima sokongan MCA jika parti itu mahu turut sama membantu kempen calon Pas.

“Kita juga harap MCA bantu tetapi kita faham MCA sedang hadapi PRK Balakong, maka jentera (mereka) fokus di sana,” ujarnya.

Setakat ini katanya, UMNO, MIC dan beberapa NGO telah membantu Pas berkempen untuk menang pada Pilihan Raya Kecil DUN Seri Setia 8 September ini.