Majlis Syura Ulamak Pas akan mengadakan mesyuaratnya esok di mana ia bakal membuat keputusan mengenai tahaluf siyasi dengan PKR.

Timbalan Mursyidul Amnya, Datuk Ahmad Yakob berkata beliau akan menghadiri mesyuarat berkenaan.

Sebelum ini, Pas kawasan meluluskan usul memutuskan kerjasama politik dengan PKR dan cadangan berkenaan kemudian dibahas dan diterima sebulat suara pada muktamar parti itu di Kota Sarang Semut minggu lalu.

Sementara itu, Ahmad yang juga Menteri Besar Kelantan menyambut baik hasrat Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk mengadakan pertemuan dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi membincangkan hubungan PKR-Pas.

Katanya, tiada masalah untuk mereka bertemu, bahkan sikap lapang dada yang ditunjukkan Mohamed Azmin itu perlu disambut baik oleh Abdul Hadi.

Semalam Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR berkata masih ada ruang ke arah menyelesaikan masalah berkenaan asalkan semua pihak mempunyai kerendahan hati untuk duduk berbincang.

Ahmad juga menyambut baik ketetapan kerajaan Selangor untuk tidak merombak pentadbirannya dan mengekalkan exco dari Pas.

Katanya, exco Pas yang dilantik merupakan mereka yang dipilih oleh rakyat, bahkan ia diperkenan oleh Sultan Selangor.