Pas lebih cenderung memperbaiki kelemahan parti sendiri dan tidak akan mencampuri urusan dalaman UMNO.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata ketika beberapa pemimpin UMNO dibicarakan di mahkamah, pihaknya mengambil pendirian - yang bersalah tetap bersalah.

“Itu masalah dalaman kita tak campur, kita juga perlu bersihkan Pas. Bukan kita nak bersihkan orang lain sahaja, kita pun perlu bersih juga. Masing-masing kenalah bersihkan parti. Kita tak anggap kita parti malaikat,” ujar beliau.

Menurut Abdul Hadi, tumpuan dan keutamaan adalah menyelamatkan politik negara dengan dominasi Melayu-Islam.

Tambahnya, strategi dan arah tuju yang lebih jelas akan dimuktamadkan menerusi taawun siyasi yang bersifat anjal.

“Itu dibincangkan di peringkat pusat. Negeri tak boleh buat keputusan, cawangan tak boleh buat keputusan. Pusat akan buat keputusan, dan melihat strategi.

“Tumpuan kita kawasan yang PH (Pakatan harapan) menang dengan sebab pecahnya undi Pas-UMNO. Ini tumpuan kita, ini terlalu banyak. Dekat 30 kawasan Parlimen tak silap saya.

“Kalau dicampur Pas-UMNO, kita boleh ambil balik kawasan (itu). Ini tumpuan di pantai barat. Pantai barat ni dominasi UMNO, bukan Pas, dan kita terima hakikat itu,” kata Abdul Hadi.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan kuliah dhuha di Masjid Rhusila, Marang pada Jumaat.