Dalam usaha meningkatkan kerjasama dengan Perkasa, PAS menjemput badan bukan kerajaan itu ke Muktamar Tahunan kali Ke-62 parti awal Jun depan.

Mengumumkan demikian di sini pada Sabtu, Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan Ahmad Fadhli Shaari berkata, "Keputusan ini diambil berikutan Perkasa (Pertubuhan Pribumi Perkasa) yang kian cenderung kepada PAS sejak kebelakangan ini.

Sementara itu Ketua Pemuda PAS Pusat Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata PAS kini mengamalkan politik matang dan sejahtera selepas mengalami krisis dalam pakatan pembangkang (Pakatan Rakyat) tahun lepas.

"Kami kini membuka peluang kepada semua pihak untuk mengenali kita secara terbuka," katanya.

Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah sebelum ini berkata muktamar ke-62 bermula 2 hingga 4 Jun depan itu akan memberi tumpuan kepada persiapan parti itu menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14.

Muktamar itu bakal dihadiri kira-kira 2,000 perwakilan dan pemerhati dan dijadual berlangsung di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa.

Mohd Amar berkata muktamar tahunan bagi tiga sayap parti itu - Dewan Ulamak, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat akan diadakan pada 31 Mei dan 1 Jun.