Pas Johor yakin dengan 'kelainan' persediaan mereka pada Pilihan Raya Umum ke-14 jika dibandingkan dengan PRU sebelum ini.

Pesuruhjaya Badan Perhubungan Pas Negeri Johor, Abdullah Husin berkata, ia cukup berbeza pada PRU kali ini apabila menampilkan calon yang berwibawa, berkaliber di pelbagai bidang dan calon boleh menang.

“Kita merasakan bahawa PRU14 ini kita lebih selesa, mantap dan dapat menampilkan calon yang cukup berwibawa iaitu ‘winnable’ candidate. Selain itu mereka itu berkaliber dalam pelbagai bidang.

“Jadi maknanya semangat kita kali ini lebih baik daripada PRU13 walaupun sebelum ini ada pihak yang merasakan yang Pas ini sudah lemah, sudah kentandusan kerana ada ramai yang sudah melompat parti.

“Kali ini kita melihat barisan calon kita lebih mantap daripada masa yang lalu,” katanya selepas majlis tersebut di Johor Bahru.

Pas Johor menerusi Gagasan Sejahtera Johor mengumumkan bertanding di 20 kerusi Parlimen dan 41 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Daripada keseluruhan calon, 15 peratus adalah calon dari kalangan ulama, 25 aktivis parti manakala 60 peratus lagi golongan profesional.

Antara nama besar yang diumumkan, Ketua Dewan Ulama Pas Malaysia, Datuk Dr Mahfodz Mohamed yang bertanding di kerusi Parlimen Batu Pahat dan kerusi DUN Gambir.

Parti tersebut kali ini menampilkan ramai calon baru sementara 10 lagi calon lama yang berusia antara 29 hingga 74 tahun.

Daripada kesemua calon, lima daripadanya adalah wanita dan yang lainnya adalah lelaki