Pas Kedah mengakui sudah mempunyai 'bank calon', satu konsep dimana parti itu meletakkan beberapa nama calon untuk bertanding pada satu-satu kerusi sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang dijangka diadakan tidak lama lagi.

Menyifatkan tahap kesediaan parti itu untuk menghadapi PRU14 berada pada tahap yang tertinggi ketika ini, Pesuruhjaya Pas Kedah Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi berkata kesemua nama yang dicalonkan berkenaan adalah calon Pas tulen, bukannya golongan calon 'harumanis'.

"Senarai calon sudah diterima dari PAS kawasan dan sudah dihantar ke peringkat PAS pusat untuk dinilai dan diangkat terus ke Majlis Syura Ulama sama ada layak atau tidak," katanya dalam sidang media di Kompleks PAS Kedah di Kota Sarang Semut, hari ini.

Terdahulu beliau mengumumkan senarai nama kabinet Pas Kedah bagi sesi 2017/2019 yang mengekalkan kesemua nama bagi sesi lepas.

Beliau yakin melihat bahawa pasukan kabinet Pas negeri ini adalah pasukan yang akan berhadapan dengan PRU akan datang jadi dengan pengalaman yang ada pada mereka beliau yakin Pas mampu menghadapi PRU dengan lebih lancar.

Malah katanya, calon-calon berkenaan adalah terdiri daripada mereka yang berkemahiran dan mempunyai keisitimewaan tersendiri, bukannya hanya terdiri daripada golongan ulama ataupun ahli agama.

Berhubung tahaluf siyasi dengan PKR di peringkat negeri Kedah, beliau berkata Pas Kedah masih menunggu keputusan mesyuarat khas yang akan diadakan dalam tempoh terdekat ini.

Majlis Syura Ulama Pas baru-baru ini sebulat suara mengambil keputusan menamatkan hubungan tahaluf siyasi dengan PKR secara serta-merta dan keputusan itu dibuat sebagai merujuk kepada tindakan PKR melanggar beberapa syarat kerjasama politik antara Pas dan PKR yang terjalin sejak sekian lama.